New Zealand sememangnya sudah menjadi impian setiap orang untuk dikunjungi. Saya sudah lama memasang impian untuk ke sana sejak tahun 2012. Saya memang obses dengan Lord of The Rings dan setiap kali menonton filem tersebut saya membayangkan berada di Middle Earth atau sebetulnya New Zealand. Akhirnya pada 2014, saya menjejakkan kaki ke negara Lord of The Rings. Berikut adalah 10 perkara yang anda perlu tahu jika ke New Zealand:

1. Jadikan New Zealand South Island sebagai keutamaan jika anda kali pertama ke sana

Lanskap di South Island begitu indah sehingga anda akan kelu tidak dapat berkata-kata sewaktu menyaksikan keindahan alam semula jadi buat pertama kalinya terutamanya jika Lake Tekapo adalah destinasi pertama anda. Lebih baik juga jika penerbangan tiba di Christchruch pada waktu malam jadi apabila tiba di Lake Tekapo anda akan rasa lebih terpegun.

109cc-dsc_0687
Pemandangan Dunedin dari Larnach Castle

2. Sewa kereta lebih selesa daripada karavan

Menaiki karavan sangat popular dalam kalangan pengunjung terutamanya dari Malaysia. Tetapi jika kumpulan anda terdiri daripada enam orang, adalah lebih baik jika menyewa MPV. Terdapat banyak perkhidmatan sewa kereta yang murah seperti Gorental. Untuk tempat tinggal, terdapat juga dorm, lodge dan apartment yang berpatutan. Yang penting keselesaan terutamanya jika perjalanan melebihi seminggu.

Jika cuaca mengizinkan, anda juga boleh berkhemah di taman-taman yang disediakan. Mereka memanggil taman itu sebagai Motels and Holiday Park. Bukan sahaja jimat malah juga lebih adventurous.

73463-dsc_0433
Kereta lebih memudahkan pergerakan

3. Jangan lepaskan peluang untuk ke Abel Tasman National Park

Kebanyakan orang hanya memberi tumpuan pada Queenstown, di bahagian selatan dan juga timur New Zealand. Namun anda perlu mencari peluang untuk ke Abel Tasman National Park yang terletak di utara barat laut South Island. Di sana, cuacanya lebih baik dan kurang sejuk.

Terdapat banyak pondok yang menyediakan perkhidmatan bot dan kayak di pintu masuk Abel Tasman. Tetapi harus diingat, anda hendaklah tiba awal seboleh-bolehnya sebelum jam 8 kerana selepas jam 8, sesetengah pakej tidak lagi dibuka. Jika anda bernasib baik, anda akan bertemu dengan sekumpulan ikan lumba-lumba berenang dan melompat berdekatan bot anda. Namun perlu diingat, walaupun air lautnya biru kehijauan, suhu air terlalu sejuk untuk bermandi manda.

Jika anda ke Abel Tasman saya mencadangkan anda tinggal di Equestrian Lodge Motel. Selain layanan yang cukup baik daripada pemilik motel, keadaan apartmen yang bersih dan selesa akan menggembirakan anda. Harga juga agak berpatutan sekiranya anda berkongsi satu apartment.

Abel Tasman National Park
Abel Tasman National Park
0a3b9-dsc_0281
Bentuk batu terbelah dikenali sebagai Split Apple Rock
8951f-dsc_0309
Sekawan ikan lumba-lumba berenang merentasi laluan bot

4. Pastikan keadaan cuaca dan musim sebelum membeli tiket kapal terbang

Bulan November adalah bulan yang menawarkan harga tiket kapal terbang yang murah. Namun, bulan november juga adalah musim bunga yang mencatatkan bilangan hujan yang lebih tinggi. Jadi, harga tiket yang murah tidak bermakna anda akan dapat melancong dalam keadaan cuaca yang baik. Jika keadaan hujan berterusan berhari-hari, anda akan kerugian masa.

Jika anda pergi ketika musim sejuk (Jun-Ogos), kebanyakan jalan raya yang merentasi pergunungan akan ditutup. Kadang kala, jika dibuka, snow chain pada tayar diperlukan utk perjalanan yang selamat.

Musim panas adalah masa terbaik namun harga tiket juga akan melambung. Pada musim panas, waktu siang juga lebih panjang dan suhu lebih tinggi di sesetengah kawasan. Jadi pilihan di tangan anda. Yang penting kajian yang mendalam diperlukan sebelum membeli tiket.

86728-dsc_0820
Pemandang Tasik Wakatipu ketika hujan lebat. Apabila hujan lebat yang berterusan, aktiviti anda akan terganggu.

5. Fish and Chips adalah makanan paling mudah didapati

Bagi Muslim, makanan halal memang sukar didapati terutamanya di kawasan pedalaman. Jadi makanan segera adalah alternatif yang terbaik. Namun, jika anda dah tak tahan, fish and chips sangat mudah didapati tertutamanya di bandar-bandar seperti Wanaka.

Harganya pada kebiasaan adalah 8 NZD.

6. Advance booking boleh dibatalkan jika disebabkan keadaan cuaca atau sebab semula jadi

Advance booking biasanya adalah pilihan terbaik terutamanya apabila di New Zealand, kekangan masa perjalanan tidak dapat dielakkan. Perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain mengambil masa yang panjang. Jadi, kita akan terlalu terkejar masa untuk membeli tiket di kaunter. Pembelian tiket secara talian juga boleh memberikan anda discount tertentu.

Namun, kadang kala, perkara yang tidak dapat dielakkan akan berlaku. Seperti yang saya alami, Milford Sound Crusie ditutup kerana jalan raya menuju ke jeti ditutup kerana tanah runtuh. Walaupun mengecewakan, namun wang tiket secara talian masih boleh di kembalikan sepenuhnya.

32340-dsc_0561
Sekadar gambar hiasan

7. Keadaan jalan raya di South Island yang indah tetapi bahaya

Jalan raya di South Island kebanyakan masa adalah kosong. Pemanduan yang lancar ini sememangnya menyeronokkan. Namun, walaupun kondisi jalan rayanya baik, keadaan jalan raya yang berselekoh dan merentasi pergunungan menguji kecekapan seorang pemandu. Sebab itu, menggunakan kereta adalah lebih baik daripada karavan (rujuk no. 2).

Sebelum memulakan perjalanan yang jauh, pastikan tangki minyak diisi sepenuhnya kerana lokasi stesen yang jauh mungkin berbahaya untuk sesiapa yang terlalu yakin dengan pemanduannya.

Anda juga harus berhati-hati dengan polis trafik. Seperti di Malaysia, perangkap halaju juga digunakan di New Zealand. Kemungkinan besar, anda tidak akan menyedari kewujudan mereka, jadi memandu dalam halaju yang ditetapkan adalah lebih baik. Jangan jadi seperti kami yang disaman kerana melebihi halaju. Surat saman tiba di alamat di Malaysia.

11cd7-dsc_0064
Perjalanan menuju ke kawasan pergunungan

8. Jangan lepaskan peluang untuk bungee jump dan skydiving

New Zealand terutamanya South Island adalah pusat kegiatan luar. Bagi mereka yang mahu menguji ketahanan mental dan fizikal atau mengatasi masalah fobia, bungee jump dan skydiving harus menjadi salah satu aktiviti utama.

Terdapat banyak lokasi di South Island untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Kebanyakannya di Queenstown. Bagi bungee jump ia boleh dilakukan di Kawarau Bridge atau Queenstown Skyline. Skydiving juga terdapat di sini tetapi jika anda kesesakan wang, di Fox Glacier menawarkan skydiving (Fox Glacier Sky Dive) yang jauh lebih murah. Pemandangannya juga indah. Anda akan dapat menyaksikan glacier, gunung ganang dan lautan dalam satu masa.

Antara agensi yang terkenal di New Zealand:

Skydive – Nzone

Bungee Jump – AJ Hakett

6c691-muhammad2b0043
Lompat terjun atau skydiving

9. Keadaan iklim yang berbeza antara timur dan barat South Island

Jika anda ada masa yang lebih, anda harus merentasi pergunungan dari timur ke barat atau barat ke timur untuk mengalami sendiri perubahan iklim yang ketara. Jika di Malaysia, tidak mungkin akan dapat kita alami tetapi di Sotuh Island ia sudah pasti.

Di bahagian timur South Island, iklim adalah lebih kering seperti di gurun. Jadi, tumbuhan juga kurang dan anda dapat merasakan kulit lebih kering. Tetapi apabila anda bergerak ke barat, anda akan dapati bilangan pokok akan semakin bertambah. Lama kelamaan akan menjadi hutan hujan tropika seperti di Malaysia. Keunikan di sebelah barat South Island adalah glacier yang merentasi hutan hujan tropika iaitu Fox Glacier dan Franz Josef Glacier.

Namun satu perkara yang sama adalah kambing biri-biri dan lembu kerana terdapat di mana-mana sahaja.

fe7b5-dsc_0193
Tasik cermin Tasik Matheson di bahagian barat South Island
54da2-dsc_0242
Franz Josef Glacier yang merentasi kawasan hutan tropika

10. Penggunaan kredit kad yang mudah

Apabila di South Island ada ketika perbelanjaan melebihi perancangan. Kadang kala penggunaan tunai tidak begitu digalakkan. Sepanjang perjalanan juga anda akan menemui kedai-kedai kecil yang menjual madu manuka asli dan sebagainya. Jika ia tidak terdapat dalam perancangan perbelanjaan, kredit kad adalah alternatif terbaik.

Kebanyakan kedai dari besar sehingga kecil menggunakan sistem kad elektronik. Syaratnya, anda perlulah memberitahu bank kredit kad anda tentang pergerakan anda ke New Zealand supaya transaksi akan berhasil. Namun, jangan terlebih berbelanja. Kawal nafsu dan utamakan aktiviti-aktiviti yang sudah dirancang.

46976-dsc_0923
Gambar hiasan di Arrowtown

Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang untuk ke New Zealand sekarang! Mulakan pencarian dan kajian anda sekarang!

Advertisements